Berdasarkan sejarah, kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya melakukan transformasi akidah dan kepercayaan masyarakat Arab serta mengangkat maruah bangsa itu dan menginspirasikan kepada mereka bukan sahaja kecemerlangan di akhirat malah kecemerlangan di dunia. Kemajuan umat Islam terutamanya di abad 4-8 hijrah dalam pelbagai bidang ilmu adalah bukti kepada kenyataan tersebut. Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bersumberkan wahyu Ilahi memacu kecemerlangan tamadun dan ummat Islam dalam segenap aspek kahidupan. Pada era pasca pandemik ini, terdapat pelabagai isu keagamaan yang berkaitan umat Islam telah timbul dan memerlukan penyelesaian segera menurut panduan wahyu ilahi. Atas kesedaran ini, persidangan ini cuba menghimpunkan kajian-kajian dan penyelidikan-penyelidikan yang berkaitan al-Quran dan wahyu sebagai asas pembinaan dan kecemerlangan tamadun bangsa untuk dijadikan panduan dalam menyelesaikan isu-isu semasa umat Islam khususnya dan manusia sejagat amnya dalam era pasca pandemik ini.
Maka persidangan ini bertujuan menghimpunkan para cendekiawan untuk membincangkan isu berkaitan al-Quran dan fungsinya dalam mendepani era pasca pandemik yang sedang melanda di seluruh dunia. Diharapkan dengan berlangsungnya seminar ini, idea-idea yang bernas serta penemuan-penemuan yang bermanfaat dapat dijana dan dibincangkan demi menzahirkan kehebatan al-Quran sebagai sumber dan asas kecemerlangan tamadun Islam sepanjang zaman serta memberi pandangan yang tuntas dalam menghadapi keadaan yang berlaku pada hari ini.