LATAR BELAKANG PERSIDANGAN

 

Berdasarkan sejarah, penurunan Al-Quran telah melakukan transformasi akidah dan kepercayaan masyarakat Arab serta mengangkat maruah bangsa itu dan menginspirasikan mereka bukan sahaja kecemerlangan di akhirat malah kecemerlangan di dunia. Kemajuan umat Islam terutamanya di abad 4-8 hijrah dalam pelbagai bidang ilmu adalah bukti kepada kenyataan tersebut. Kalam Allah Swt yang mulia itu tidak diturunkan untuk dibaca semata-mata, tetapi untuk dihayati dan diamalkan. Ia bukan sahaja mengandungi ajaran yang berbentuk ritual malah turut mengandungi sumber inspirasi yang dapat melonjakkan transfomasi sesuatu bangsa ke tahap yang lebih tinggi yang dapat mensejahterakan bangsa tersebut mengikut acuan yang dikehendaki Allah SWT. Kefahaman yang mendalam terhadap al-Quran bukan sahaja dapat memberi manfaat pada orang Islam, namun ianya akan mentransformasi kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama ke arah yang lebih baik. Konsep Islam sebagai Rahmatan lil ‘Alamin dapat ditonjolkan melalui penghayatan ajaran al-Quran yang sebenar. Atas kesedaran ini, persidangan ini cuba menghimpunkan kajian-kajian dan penyelidikan-penyelidikan yang berkaitan topik tersebut untuk dijadikan panduan untuk meningkatkan kemajuan umat Islam khususnya dan manusia sejagat amnya.

 

Menerusi persidangan ini, dapat menghimpunkan para cendekiawan untuk membincangkan isu tersebut dan isu-isu lain berkaitan al-Quran, terutamanya fungsinya sebagai asas kesejahteraan umat manusia. Diharapkan dengan berlangsungnya seminar ini, idea-idea yang bernas serta penemuan-penemuan yang bermanfaat dapat dijana dan dibincangkan demi menzahirkan ajaran al-Quran yang menjadi sumber asas kepada kehidupan masyarakat muslim dalam membina suatu bangsa Malaysia yang lebih sejahtera.